Ct_Nurmarlissaa: MaDaGaScAr.........

Wednesday, June 01, 2005

MaDaGaScAr.........

CaRtOOn TimE........
SESUAI dengan musim cuti sekolah, maka filem yang ditayangkan ketika ini turut mengambil kira faktor kehadiran kanak-kanak dan remaja ke pawagam. Justeru, beberapa filem yang mengutarakan tema cinta remaja, kekeluargaan dan komedi memenuhi panggung wayang.Sebuah filem yang tidak patut dilepaskan golongan ini (termasuk penonton dewasa) ialah Madagascar keluaran Dreamworks Animation SKG. Filem ini bakal menyambung kejayaan yang dicipta filem animasi daripada pencipta yang sama sebelum ini iaitu Shrek dan Shark Tale.
Kisah yang dipaparkan menerusi filem yang cukup menghiburkan ini mudah saja. Di sebuah zoo di tengah kota raya New York, empat sekawan, Alex sang singa (suara Ben Stiller), Marty si kuda belang (Chris Rock), Melman sang zirafah (David Schwimmer) dan Gloria si badak air (Jada Pinkett Smith) adalah tarikan utama buat taman haiwan berkenaan.Di situ, mereka menjadi penghibur kepada pengunjung dan sesuai dengan status mereka sebagai bintang, haiwan terbabit dilayan dengan sempurna oleh penjaga mereka. Bagaimanapun, keadaan mula berubah apabila si kuda belang mula memasang impian untuk melihat dunia luar selepas menyaksikan percubaan beberapa ekor burung penguin untuk melarikan diri daripada kurungan. Satu malam, Marty melarikan diri dari zoo berkenaan. Tindakan itu menyebabkan tiga rakannya turut meninggalkan taman terbabit untuk menyelamatkannya. Malangnya, semua haiwan itu ditangkap dan akhirnya dipindahkan.Ketika berada di atas kapal pemindahan, Marty dan Alex asyik bergaduh, menyebabkan keempat-empat rakan tadi terjatuh ke laut dan seterusnya hanyut ke sebuah pulau yang dipenuhi hutan. Akhirnya mereka sedar, tempat baru itu ialah Madagascar!
Di hutan yang betul itu, barulah mereka mengerti kehidupan sebenar. Di situ, makanan tidak lagi disediakan, rawatan juga tidak diberikan. Semuanya terpaksa dicari sendiri, yang menyebabkan Alex mula hilang pertimbangan.Menariknya filem ini kerana watak yang diwujudkan bukan saja dalam bentuk yang amat comel, bahkan masing-masing dengan kerenah yang cukup menggeletek hati. Haiwan terbabit diberikan perwatakan seperti manusia, pada masa yang sama masih berada dalam hakikat sebenar sebagai makhluk berkaki empat.Grafik menarik yang dihasilkan dengan teknik terkini perkomputeran membuatkan visual yang dipapar cukup menghiburkan. Dengan pengaruh kartun yang dilakarkan pada tahun 1930-an dan 1940-an, Madagascar memberikan sentuhan baru kepada dunia animasi hari ini. Lihat saja dunia penuh berwarna-warni di hutan tropika hasil artis Dreamworks Animation dan PDI/Dreamworks, anda bagaikan dibawa ke dunia tanpa masalah.Namun begitu, Madagascar bukan setakat mengajak penonton bergelak ketawa daripada minit pertama hingga ke saat akhir cerita, bukan juga sekadar fantasi semata-mata. Sebaliknya, filem ini tidak lupa menyelitkan pengajaran berguna untuk direnung bersama.Paling penting, ia cuba menyampaikan pesanan kepada penonton, yang hidup ini tidak akan sempurna tanpa adanya sokongan dan bantuan orang lain. Hidup menjadi sukar jika berseorangan, manakala masalah pula mudah dileraikan jika diminta pandangan rakan.Walaupun tempat orang mungkin membawa sedikit kesukaran, tetapi di sebalik kepayahan itu, kita dibuka kepada satu ruang baru untuk memperbaiki diri. Itulah yang dipelajari Alex, raja belantara yang hanya mengenali erti sebenar kekuasaan selepas mengeluh dengan kesusahan hidup di hutan.

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home